BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 28, 2011

kisah di asrama bhg 1

Kisah ini bermula sewaktu aku mula-mula hadir ke sekolah di sebuah daerah bernama kemaman. Aku ditempatkan disekolah berasrama harian. Sejak itu aku mula belajar hidup berdikari. Untuk beberapa bulan pertama hidup di sana keadaannya seperti biasa, walaupun ada masalah tetapi aku dapat menangani dengan baik, aku rasa la hehehe. Kadang-kala ada juga masalah yang tidak dapat dielakkan. Bagiku masalah itu bukan berpunca dariku kerana ia datang dengan sendiri. Nak tahu apa? Masalah di ganggu benda sepatutnya tidak hadir di dalam hidup normal manusia, namun setiap makhluk kejadian yang dicipta oleh-Nya pasti akan berkongsi kehidupan biarpun tidak kelihatan pada mata kasar manusia. Ewahh panjang benor mukaddimah cerita ni yer hihihi. Jom mari kite mula

Cerita 1

Aku tidak pasti kejadian apa yang berlaku dahulu tetapi aku pasti kejadian ini adalah yang pertama yang berlaku ke atasku. Kedengaran di pagi yang sunyi itu bilik membasuh di asrama sekolah yang terletak bersebelahan dengan bilik dormku agak bising. Suasananya meriah seakan-akan ada pesta yang berlaku didalamnya. Waktu itu masih lagi menunjukkan jam 4.30 pagi. Mustahil sudah ramai yang bangun mandi pada waktu ini. Bukan jarang tetapi memang tiada langsung kecuali aku dan seorang senior didalam bilikku yang sentiasa bangun seawal 5.30 pagi. Mimpi apa mereka bangun awal macam ni. Mula aku tidak begitu mengendahkannya, tetapi apabila kedengaran bilik sebelah itu semakin rancak dan jam tepat menunjukkan 5 pagi . iaitu setengah jam awal dari biasa aku terus bangkit dari tidur. Dengan keadaan kelam kabut aku mengejutkan kakak seniorku untuk ke bilik mandi. Terasa begitu lewat kerana aku yakin apabila keadaan ramai begini pasti akan ramai yang beratur menunggu giliran untuk mandi termasuk aku. Dah la sorang-sorang mandi ikut suka hati je. Mau aku tertidur di dalam bilik mandi itu untuk menunggu sehingga sampai ke giliran aku. Kan naye tu. Lantas aku mencapai tuala yang tersangkut di katil dan alatan mandi lalu bergegas keluar, kak yus pula kelihatan seperti mengikut aku dari belakang. Deruan air yang jatuh ke lantai dan bunyi orang memberus baju masih lagi kedengaran. Nampaknya kali aku benar-benar telah terlambat. Suara-suara perempuan bergurau dan bergelak ketawa begitu jelas. Tapi kenapa budak- budak di dalam dormku masih lagi nyenyak tidur. Hanya aku dan kak yus saja yang tersedar dengan suasana itu. Aku mula keluar dahulu dari kak yus, terus berjalan hingga ke bilik membasuh itu. Entah kenapa aku tidak perasan ketika aku hampir sampai ke bilik itu kesemua bunyi-bunyi meriah itu hilang sekelip mata. Eh biar betul ni. Apabila kakiku betul-betul berada di hadapan pintu itu tiba-tiba saja kakiku terhenti disitu. Seperti ada sesuatu yang menolak kepalaku agar berpaling ke kiri. Lambat-lambat aku berpaling ke arah bilik itu, apa yang terzahir di pandangan mata kasarku hanyalah deretan baldi yang tersusun rapi disebelah dinding dan berus-berus yang berselerakan di atas tempat membasuh. Tiada setitik air pun yang kelihatan di atas lantai apatah lagi diluar pintu bilik itu. Tiada juga tanda-tanda seperti seseorang pernah masuk ke bilik itu. Anak mataku segera dialihkan ke hadapan iaitu ke bilik mandi. Dengan perlahan aku terus bergerak ke sana. Biarpun denagan perasaan seram yang teramat aku meneruskan hajatku untuk terus mandi. Mujur sahaja sewaktu mandi itu aku tidak diganggu sesuatu. Apabila aku pulang ke bilik selepas selesai mandi baru aku teringat akan kak yus. Di mana dia ketika aku keluar tadi???

Cerita 2

Peristiwa bangunan aspura terbakar membuatkan hanya penghuni aspuri sahaja yang tinggal bersendirian di asrama sekolah itu. Ketiadaan pelajar aspura menyebabkan ramai di antara pelajar perempuan mengambil kesempatan untuk keluar mengambil angin setelah makan malam di dewan makan asrama termasuklah aku. Kebiasannya sebelum mahgrib pasti ramai yang keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan sekolah. Aku juga turut keluar untuk menghilangkan bosan selepas makan. Selalunya aku akan keluar bersama yang lain iaitu kak faridah dan rakannya kak tijah, tetapi hari itu aku tergerak hati untuk keluar secara berseorangan. Kawasan sekolah yang agak luas memungkinkan mereka berjalan tanpa bertembung antara satu sama lain. Pada ketika itu aku melalui jalan di bersebelahan makmal kemahiran hidup lama. Bangunan yang agak lama itu kelihatan sunyi tetapi aku biarkan saja kerana ketika itu masih ramai yang berada di belakangku. Aku teruskan jalanku hingga ke makmal komputer yang ketika itu baru sahaja siap pada tahun lepas. Bersebelahan makmal komputer itu terletaknya bangunan 3 tingakt makmal sains yang merangkumi kesemua subjek sains. Di tingkat bawah itu adalah makmal biologi. Aku berpusing-pusing di sekitar halaman itu yang mana terdapat dewan besar dan dewan terbuka yang kini menjadi dewan tertutup berhadapan blok makmal itu. Jam waktu itu baru sahaja menunjukkan 6.45 petang, masih awal untuk pulang ke asrama. Suasana hampir gelap seakan ingin beranjak ke malam lebih awal sedangkan semalam hari masih lagi terang benderang pada waktu ini. Gelapnya seperti mendung tetapi hari itu panas saja. Aku mula terasa tidak sedap hati. Dikelilingi bangunan besar menambahkan lagi rasa ragu disitu. Semacam saja aku lihat di dewan besar itu seakan ada sesuatu yang melihat aku dari jauh. Tiada orang lain disitu selain aku. Hendak patah semula aku rasa ada yang tidak kena. Fikiran aku mula berserabut, entah kenapa aku sendiri tidak tahu. Aku mengambil keputusan untuk melintasi makmal biologi itu untuk pulang ke asrama. Tidak sampai tiga langkah aku berjalan tiba-tiba saja terdengar tapak kasut sedang mengikutiku dari belakang! Siapa pula ni?? Sekali aku melangkah sekali itu juga derap kaki itu berbunyi. Hinggalah ke langkah yang ketujuh bunyi derapan kaki itu terus hilang di belakang yang ada hanyalah deruan angin melintas laju di sebelahku hingga terangkat sedikit tudung dan baju di bahagian bawah. Tersentak aku disitu, hati mula berdebar-debar dan tidak keruan namun aku masih lagi berupaya untuk menyembunyikan reaksi takutku. Sekali lagi aku dikejutkan dengan rangka manusia yang terletak di dalam makmal biologi itu. Rupa-rupanya aku sudah berada di tingkap makmal itu yang sedikit terbuka dan membolehkan aku melihat patung rangka itu. Aku tidak pasti sama ada itu hanyalah perasaanku saja atau tidak tetapi aku benar-benar melihat tengkotak patung itu berkalih ke arahku sambil tersenyum! Ya Allah hampir gugur jantung aku dibuatnya. Perasaan aku mula bergolak kerana ketakutan, aku mula berbolak-balik memikirkan adakah aku perlu lari atau berjalan seperti biasa kerana selepas makmal itu aku terpaksa melalui satu lagi makmal biologi yang mempunyai patung rangka manusia yang sama! Macam mana ni. Apabila teringat pesan orang tua supaya berjalan sahaja, aku terus menguatkan hati untuk berjalan sambil pandang ke hadapan tanpa melihat ke kanan dan kiri. Apa nak jadi jadilah, aku sudah tidak peduli semua itu.Sampai saja di laluan pejalan kaki aku terserempak dengan rumetku. Leganya tak terkira. Apabila melihatkan pucatnya mukaku lantas bertanya apa yang berlaku, namun jawabku tiada apa-apa. Aku tersenyum lalu pulang ke asrama dengan seribu debaran.