BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, July 25, 2012

Namamu teratas

Seringkali ungkapan rindu lahir dari lubuk yang paling dalam hatiku. Mengingatkan kamu setiap masa dalam kehidupan ini. Indahnya kenangan dan peristiwa yang bermain diminda yang tidak pernah mengenal erti berputus asa dalam melewati detik-detik masa yang terindah di masa lalu. Tidak pula berani untuk menyatakn kenangan itu akan kembali semula tetapi ikatan yang menghubungkan dua insan tidak perlukan memori itu diputarkan kembali. Biarkan ia kekal disitu tanpa diusik dan diubah. Benar kata sahabat baru, mendoakan kesejahteraan orang itu lebih baik daripada berprangsaka buruk. Mendoakan kegembiraan orang lain agar dia terus mengingati kita walaupun tidak bersua muka.

Dia yang di sebut adalah sahabat lama, mungkin tidak , mungkin masih lagi diperingkat usia jagung barangkali namun dia membawa erti besar dalam diri ini. Tidak pasti apa yang memberi kelainan dalam dirinya berbanding yang lain. Tetapi dapat dirasakan dia adalah berbeza dari orang lain. Kehadirannya seakan membawa sinar kepada seluruh waktu ibarat bunga mawar merah yang mampu memberi ceria dan cahaya yang terang untuk kehidupan disekelilingnya. Tapi apakan daya penglihatanku seakan terhijab untuk melihat kecantikan sebenar. Dia ibarat mawar yang sangat berduri, tajam dan sakit apabila disentuh. Sekadar pandangan mata kasar memberitahu, hati pula bagai mengiyakan isyarat itu. Diri ini telah tersilap membuat penilaian pada pandangan pertama.

Sedangkan masa telah berlalu dengan sekelip mata, hati ini masih keras untuk melihat kebaikan dan kecantikan didalam bunga mawar tersebut. Terasa ingin mencuba mendekati namun ada saja gerak hati yang menjadi batu penghalang. Pernah terlintas di kotak fikiran sampai bila harus bersikap begitu. Perit juga bila difikirkan kembali waktu itu yang membiarkan saja setiap saat pergi begitu sahaja. Dia akhirnya seakan menjadi bunga mawar yang dingin lagi layu apabila diletakkan di sebelah ais yang sejuk membeku dan keras.

Dia mawar yang berada di kelompok hidupnya sendiri. Dia juga seakan pohon sakura yang memberi harapan dan sandaran pada mereka yang setia berada di bawah kuntuman-kuntuman sakura yang berguguran berterbangan bertebaran di setiap sisi mereka. Mudahnya dia didekati tanpa perasaan tercalar dan dilukai. Sehingga terfikir dia tidak sesuai hidup di tanah sejuk lagi kaku. Bagiku biarpun beku tetapi terasa mengalirnya cemburu di dasar tanah yang menghangatkan ruang-ruang kecil di sekelilingnya. Aku yang mengasingkan dia tetapi aku juga yang terluka. Mahu sahaja aku membawa bunga mawar itu ditanam di tempat yang lebih baik buat dirinya agar dia terus berseri seperti semula.

Tahun demi tahun bunga mawar itu kembali segar dan tanah yang dulunya sejuk dan keras mula mencair dan subur. Terdapat takungan seolah tasik yang bersedia untuk mengalir memberi jasa kepada tumbuhan di sekitarnya. Mungkin ada benarnya perpisahan akan memberi sedikit waktu untuk menilai kembali tingkah laku yang dianggap tidak matang dalam merangka sebuah hubungan. Aku dan dia semakin baik dalam persahabatan biarpun ia mengambil masa yang agak lama untuk pulih. Aku mengakui penilaian pertamaku dahulu adalah silap dan aku memohon maaf diatas segala kekhilafan diri terhadap dia. Andai bunga mawar itu tidak lagi bersama tanah yang semakin menghijau itu biarkanlah kerana haruman bunga itu akan kekal mewangi selagi aku percaya pada sesuatu yang bernama persahabatan.

Dan akhirnya Aku tinggalkan cerita ini demi dia....AZLIN

0 comments: